Dengan cuaca seperti Malaysia, penyaman udara telah menjadi suatu keperluan. Tahukah anda dengan penggunaan berterusan, penyaman udara boleh mengumpul habuk, zarah debunga dan menjadi tempat pembiakan untuk kulat, bakteria dan kulapuk? Oleh itu, adalah penting untuk penyaman udara anda diperiksa dan diservis dari semasa ke semasa agar ia dapat berfungsi dengan berkesan. Antara perkhidmatan yang diperlukan adalah cucian kimia untuk pembersihan menyeluruh. Apakah cucian kimia dan bagaimana ia dapat membantu bagi memastikan penyaman udara anda berfungsi dalam prestasi terbaik?
Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Cucian Kimia Penghawa Dingin (Chemical Wash Aircond)?
Cucian kimia adalah penting untuk unit penyaman udara yang tidak dibersihkan dalam jangka masa yang lama. Dari masa ke semasa, debu akan terkumpul di dalam penyaman udara yang kemudiannya memerlukan pembersihan yang menyeluruh.
-
1. Menghilangkan kotoran degil dan memberikan udara bersih
Dengan menggunakan cucian kimia penghawa dingin (chemical wash aircond), unit akan dibuka dan setiap bahagian dibersihkan dengan air dan sebatian pembersihan khas yang lain. Proses ini akan menggunakan bahan kimia untuk memecahkan kotoran dan menghilangkan kotoran degil, minyak dan debu terkumpul. Selepas pencucian dengan bahan kimia, penyaman udara akan lebih bersih dan dapat meningkatkan kualiti hidup anda dan orang tersayang.Kulat dan kulapuk adalah mikroorganisma berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan. Ia tak akan hilang melalui kaedah pembersihan biasa seperti penggunaan air dan sabun. Melalui cucian kimia, biosid tertentu di dalam bahan kimia boleh membersihkan gegelung dan membantu menghilangkan bau dan menghalang pertumbuhan semula mikroorganisma. -
2. Meningkatkan prestasi penyejukan
Di samping itu, cucian kimia disyorkan untuk sistem dengan prestasi penyejukan yang lemah. Penyejukan yang tidak cekap biasanya menandakan sistem tersumbat dan mengakibatkan kehilangan tenaga kerana ia menggunakan lebih banyak kuasa. Dengan kaedah cucian kimia, penyejukan akan lebih cepat dan penggunaan elektrik juga rendah. Selain itu, ia juga menjimatkan kos kerana penyelenggaraan yang tetap akan memastikan penyaman udara anda boleh beroperasi dalam jangka masa yang lama.
Kekurangan Cucian Kimia
-
1. Kesan Sampingan
Bahan biosid yang terdapat dalam cucican kimia boleh menyebabkan reaksi alergi dan negatif kepada orang yang sangat sensitif. Ini akan membawa kepada komplikasi sistem pernafasan yang boleh mengakibatkan kerengsaan, alahan dan kesukaran bernafas -
2. Harga yang mahal
Satu lagi kelemahan cucian kimia adalah ia mahal berbanding kaedah pembersihan lain. Ini adalah kerana kos agak tinggi untuk bahan, kaedah khusus, alat dan kemahiran teknikal untuk pembersihan. Oleh kerana cucian kimia memerlukan pengendalian bahan kimia berbahaya, pengendalinya perlukan latihan yang cukup seperti bagaimana untuk menyimpan dan melupuskan bahan kimia dengan betul.Persoalannya, berapa kerapkah anda perlu melakukan cucian kimia untuk penyaman udara anda? Tidak disyorkan untuk melakukan cucian kimia secara kerap kerana proses itu boleh merosakkan coil penyaman udara. Oleh itu,cucian kimia boleh dilakukan sekali setahun, bergantung pada kekerapan penggunaan.Sebagai alternatif, anda juga boleh mengamalkan pembersihan bulanan dengan membasuh penapis dengan air dan mengeringkannya. Selain itu, anda juga boleh membersihkan badan penyaman udara dengan menyapu permukaan dengan kain basah setiap dua minggu untuk memastikan habuk tidak masuk ke dalam penapis dan membuatkan sistem tersumbat. Langkah-langkah mudah ini dapat memastikan penyaman udara anda berfungsi dan beroperasi dengan lancar.